PETALING JAYA: “Jangan terbabit dengan cinta lokasi.”
Itu antara nasihat yang dikongsikan primadona, Nasha Aziz kepada adik tirinya, Zaidi Aziz yang kini berjinak-jinak menjadi pelakon.
Zaidi yang berusia 23 tahun menganggap nasihat tersebut sebagai perkara berharga daripada kakaknya yang merupakan aktres berpengalaman dan berpengaruh besar dalam dunia drama dan perfileman tanah air.
“Dia minta saya jauhi cinta lokasi. Insha-Allah saya pegang nasihat itu.
“Apa pun saya gembira kerana bertemu kakak semasa majlis tayangan sebuah filem antarabangsa baru-baru ini.
“Kami berkesempatan makan bersama. Dia ada berkongsi banyak nasihat lain, antaranya tips bertahan dalam bidang lakonan.
“Saya gembira berjumpa dia baru-baru ini,” katanya yang ditemui sempena sidang media dan tayangan drama Kelas Belakang, baru-baru ini.
Zaidi dalam masa yang sama menyifatkan Nasha sebagai kakak yang baik dan cukup menyenangkan.
“Dia sokong saya jadi pelakon. Saya doakan dia dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dilancarkan segala urusan,” kongsinya lagi.
Bercerita mengenai watak Nik Anaqi dalam drama Kelas Belakang terbitan Viu, Zaidi tidak menafikan karakter tersebut cukup mencabar buat dirinya yang baru bergelar pelakon.
“Saya bersyukur menyambut baik inisiatif Independent Pictures yang menyediakan kelas lakonan untuk barisan pelakon drama ini.
“Saya tak nafikan, watak Nik Anaqi ini bukan mudah dilakonkan. Pelbagai cara saya buat untuk menghidupkannya. Tapi prosesnya menjadi mudah apabila pengarah, Nuhanisham Muhammad atau Labu meminta saya menjadi diri sendiri ketika membawa watak ini,” katanya lagi.
Kelas Belakang turut dibintangi barisan pendatang baharu seperti Amylia Aidura, Areef Amran, Farihin Arnia, Arfie Shah, Faha Azhar dan ramai lagi. Drama 12 episod ini ditayangkan menerusi platform Viu, pukul 12 tengah hari setiap khamis dan Jumaat. – UTUSAN










