PETALING JAYA: Jenazah pelakon Allahyarham Nadia Kesima atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, akan dikebumikan selepas subuh waktu Jeddah, Arab Saudi.
Suami Allahyarham, Profesor Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57 berkata, jenazah Allahyarham sudah dimandikan dan disembahyangkan.
Katanya, anak perempuan mereka, Sarah, bersama teman Allahyarham membantu proses memandikan jenazah.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan rakan arwah) serta telah disembahyangkan. Saya sendiri menunaikan solat jenazah dan menjadi imam.
“Alhamdulillah. Jenazah akan dikebumikan selepas Subuh (waktu Jeddah jam 5.44 pagi, bersamaan 10.44 pagi waktu tempatan),” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Media semalam melaporkan Prof. Dr. Muhammad Kamarul berlepas ke Jeddah petang semalam bersama anak perempuannya bagi menguruskan jenazah Nadia yang berada di Hospital King Fahad.
Nadia Kesuma yang juga membintangi filem Syaitan Munafik, meninggal dunia pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau dilaporkan hilang di Jeddah.
15 Januari lau, pelakon itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk menunaikan umrah dan ziarah yang turut melibatkan destinasi termasuk London dan Paris, anjuran sebuah agensi pelancongan tempatan selepas gagal dikesan.
Allahyarham dijadualkan meneruskan penerbangan ke London selepas transit selama beberapa jam di Jeddah, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalan
Berita kehilangan Allahyarham pada awalnya dimaklumkan pelakon Anne Abdullah.
Bagaimanapun, pada Sabtu, suami Allahyarham mengesahkan pemergian isterinya akibat sakit jantung pada 15 Januari lalu, pukul 8.07 pagi waktu tempatan.– UTUSAN










