PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengumumkan Penilaian Tadbir Urus Korporat (CG) bagi syarikat tersenarai awam (PLC) di Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE kini boleh diakses melalui platform MyBURSA.
Langkah ini membolehkan pelabur dan peserta pasaran menilai standard tadbir urus setiap PLC, seterusnya meningkatkan ketelusan pasaran dan daya tarikan syarikat Malaysia.
Ketua Pegawai Peraturan Bursa Malaysia, Julian M Hashim berkata, melalui platform itu pelabur dapat menilai standard tadbir urus PLC bersama-sama dengan data utama lain, membolehkan penilaian risiko secara menyeluruh dan analisis nilai jangka panjang.
“Bagi PLC, keterlihatan Penilaian CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan dan meningkatkan daya saing mereka dalam menarik modal domestik dan global.
“Integrasi Penilaian CG bersama Penilaian ESG di MyBURSA juga bertujuan untuk meningkatkan standard tadbir urus, menggalakkan penambahbaikan berterusan dan mempertingkatkan daya tarikan pasaran modal Malaysia kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan.
Penilaian disediakan oleh Kumpulan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (MSWG) sebagai Badan Peringkat Domestik, menggunakan kaedah ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS) yang selaras dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD dan disokong oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF).
Ini membolehkan pelabur membandingkan standard tadbir urus merentasi pasaran selaras dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.
Menurut Julian lagi, integrasi penarafan CG ke dalam MyBURSA ini melengkapkan Penarafan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang sudah sedia ada di platform itu.
“Bursa Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan standard tadbir urus dan menjadikan pasaran modal Malaysia lebih menarik kepada pelabur melalui penyediaan maklumat yang komprehensif, berguna untuk keputusan dan boleh dibandingkan,” katanya.
Penilaian MSWG itu dibuat berdasarkan maklumat yang didedahkan kepada umum, termasuk Laporan Tahunan, Laporan Tadbir Urus Korporat, Laporan Kelestarian dan maklumat relevan lain dalam domain awam. –UTUSAN










