KUALA LUMPUR: Walaupun abangnya, Sharif Zero, menyatakan hasrat untuk memohon maaf secara terbuka, pelawak Atu Zero memaklumkan sehingga kini masih belum menerima sebarang usaha bersemuka bagi menamatkan kemelut adik-beradik yang berlarutan.
Atu atau Sharid Kunal Doli Sharif, 33, berkata, tiada sebarang tindakan lanjut diambil oleh abangnya setakat ini, meskipun kenyataan hasrat tersebut telah disuarakan kepada umum.
“Setakat ini belum ada apa-apa tindakan. Mungkin dia sudah menyampaikan hasrat, tetapi hasrat itu belum sampai kepada saya.
“Saya berharap yang terbaik untuk semua, namun selagi tiada sebarang tindakan, saya tidak berani untuk mengulas lebih lanjut. Takut terlebih bercakap, kita sendiri tidak sedar apa yang diperkatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengiktirafan produk Bumbu Babah oleh Malaysia Book of Records (MBR), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Atu mengingatkan agar Sharif terlebih dahulu memohon maaf kepada ibu mereka sebelum bertemu dengannya.
“Datanglah bersemuka, tetapi jangan jumpa saya dahulu. Jumpalah mak saya. Perkara ini mak pun sudah tahu ceritanya.
“Minta maaf dengan mak dahulu. Kalau mak sudah maafkan, saya pun akan maafkan. Itu sahaja. Kita kena saling memaafkan, kalau tidak lambat masuk syurga nanti,” katanya sambil ketawa.
Mengulas dakwaan Sharif yang mendakwa mereka pernah bertemu di beberapa acara sukan sebelum ini, Atu berkata, dia tidak menyedari kehadiran abangnya pada ketika itu.
“Saya tegur, tetapi dia hilang. Takkan saya hendak tegur dinding pula? Saya tidak tahulah kalau ‘hijab’ saya tertutup ketika itu sampai tidak nampak dia,” katanya dengan nada sinis.
Dalam perkembangan lain, Atu tetap menyimpan harapan agar kumpulan Zero yang turut dianggotai seorang lagi abangnya, Syaiful Zero, dapat kembali bersatu demi peminat yang merindui gandingan mereka bertiga.
Menurutnya, kali terakhir kumpulan komedi berasal dari Kudat, Sabah itu tampil bersama secara rasmi adalah pada tahun 2019.
“Insya-Allah, sebagai Zero, saya berharap ada sinar baharu. Orang pun tertunggu-tunggu dan kami sendiri sudah lama tidak beraksi bersama di atas pentas sejak 2019. Sekarang ini hanya dapat tengok di televisyen sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini, Sharif mendedahkan menerusi sebuah program audio siar bahawa Atu hampir terjerumus dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, yang didakwa menjadi antara punca konflik antara mereka. – UTUSAN









