MH21 berpatah balik kerana masalah teknikal

MH21 berpatah balik kerana masalah teknikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), semalam berpatah balik dan mendarat di CDG akibat masalah teknikal.

Malaysia Airlines berkata, tindakan berpatah balik selepas berlepas itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan pada petunjuk enjin.

Katanya, penerbangan gantian MH21D bagaimanapun dijadualkan berlepas dari CDG pada 1 petang waktu tempatan hari ini.

“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan memohon keutamaan pengendalian dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara.

“Ia termasuk penggunaan kod transponder kecemasan bagi memudahkan pendaratan semula yang selamat di CDG untuk pemeriksaan teknikal.

“Pesawat terbabit kemudiannya mendarat dengan selamat pada 3:35 petang, waktu tempatan di Paris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan juruterbang pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari CDG, Paris, semalam.

Penerbangan MH21 berlepas dari CDG pada 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.

Pada masa sama, menurut Malaysia Airlines, penumpang yang terjejas ditempatkan semula ke syarikat penerbangan alternatif sekiranya ada manakala sebahagian penumpang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.

“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan kekal sebagai keutamaan utama Malaysia Airlines,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN