KUALA LUMPUR: Pengacara, Fedtri Yahya mengakui sukar menahan emosi selepas menonton naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin menerusi filem The Voice of Hind Rajab.
Fedtri atau Ahmad Fedtri Yahya, 44, berkata naluri kebapaannya amat tersentuh apabila mengenangkan nasib Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin yang terperangkap selama berjam-jam di dalam kereta yang ditembak tentera Israel.
“Mungkin jika saya menonton filem ini ketika berusia 20-an, saya hanya akan menangis dan kemudian melupakannya.
“Namun apabila sudah bergelar bapa, melihat kanak-kanak berusia enam tahun melalui penderitaan sebegitu benar-benar menguji emosi. Saya tidak dapat membayangkannya kerana dia masih kecil dan sangat comel,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Fedtri, pengalaman pernah terlibat menyampaikan bantuan di kem pelarian turut menjadikan beliau lebih dekat dengan realiti yang dipaparkan dalam filem berkenaan.
“Saya pernah melihat mereka yang datang tanpa kaki, tanpa tangan. Walaupun ada antara kanak-kanak di kem pelarian itu tidak bersekolah dan buta huruf, kefasihan serta keberanian mereka melontarkan idea sangat mengagumkan.
“Kefasihan mereka itu ‘lain macam’, walaupun kami hanya memahaminya melalui terjemahan. Mereka membesar dalam lingkungan masyarakat yang berjiwa besar,” ujarnya.
Mengulas mengenai kehebatan wanita Palestin, Fedtri menyifatkan golongan itu sebagai luar biasa kerana tetap tabah dan tidak gentar berdepan ancaman maut yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Wanita di sana membesar dalam keadaan yang sangat mencabar. Apabila ditanya mengapa masih mahu melahirkan anak dalam situasi perang, jawapan mereka hampir sama iaitu untuk melahirkan mujahidin yang akan terus berjuang.
“Mereka tidak pernah berkata ‘tidak mahu beranak lagi’. Sebaliknya, mereka bangga melahirkan zuriat demi meramaikan golongan yang mempertahankan tanah air,” katanya.
The Voice of Hind Rajab mengisahkan tragedi sebenar yang menimpa Hind, kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.
Tragedi itu turut merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada arwah Hind ketika cuba menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi tersebut gagal menyelamatkan nyawanya.
Filem The Voice of Hind Rajab yang mula ditayangkan sejak 8 Januari lalu kini ditayangkan di 32 lokasi GSC di seluruh negara. -UTUSAN










