Hormon lelaki berlebihan punca wanita banyak bulu

Hormon lelaki berlebihan punca wanita banyak bulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUMBUHAN bulu berlebihan dalam kalangan wanita bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah boleh menimbulkan tekanan emosi dan rasa rendah diri jika tidak diurus dengan baik.

Keadaan itu lazimnya dipengaruhi oleh hormon androgen, iaitu hormon lelaki yang turut wujud dalam tubuh wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, kawasan awal yang sering menunjukkan pertumbuhan bulu ialah dagu, rahang, dada, perut bawah dan kawasan intim.

Katanya, bulu di kawasan itu biasanya tebal dan semakin jelas dari semasa ke semasa.

 

Punca, penyakit berkaitan
Menurut Hamidah, ketidakseimbangan hormon merupakan punca utama, terutama apabila paras androgen meningkat melebihi paras normal dalam tubuh wanita.

Katanya, terdapat juga keadaan perubatan yang mencetuskan pertumbuhan bulu tidak normal dikenali sebagai hirsutisme.

Antara penyakit yang sering dikaitkan termasuk sindrom ovari polisistik (PCOS), iaitu penyebab paling lazim dalam kalangan wanita di negara ini, selain cushing akibat penghasilan hormon kortisol berlebihan,

tumor ovari atau adrenal serta gangguan hormon seperti hypothyroidism atau hyperprolactinemia.

“Wanita yang mempunyai PCOS mengalami pertumbuhan bulu lebat kerana hormon lelaki mereka lebih tinggi berbanding perempuan selain boleh menjejaskan kesuburan kerana haid tidak teratur dan ovulasi terganggu,” katanya.

Gaya hidup dan ubat-ubatan turut memainkan peranan dalam mencetuskan keadaan tersebut.

Masalah obesiti misalnya, boleh menyebabkan rintangan insulin yang berkait rapat dengan PCOS. Pengambilan ubat atau suplemen yang mengandungi testosteron juga boleh mencetuskan pertumbuhan bulu.

Selamatkah cabut bulu?
Mengulas mengenai keselamatan kaedah mencabut bulu, Hamidah menjelaskan tindakan tersebut tidak berbahaya selagi dilakukan dengan teknik betul dan mematuhi aspek kebersihan.

Katanya, penggunaan alat tercemar atau mencabut dengan cara salah boleh mengundang luka, jangkitan bakteria, bulu tumbuh ke dalam (ingrown hair) dan keradangan.

Beliau turut menolak mitos bulu akan tumbuh lebih tebal selepas dicabut.

“Bulu baharu kelihatan kasar kerana ia masih pendek dan belum sempat menipis.

“Mencabut bulu tidak mengubah jumlah folikel atau paras hormon androgen,” jelasnya.

 

Alternatif selain cabut
Selain mencabut sendiri, terdapat pilihan lain seperti waxing dan penggunaan epilator.

Penggunaan waxing bagi menarik bulu secara serentak memberikan hasil lebih licin berbanding mencukur.

“Tetapi ia boleh menyebabkan rasa sakit terutama pada kawasan sensitif.

“Individu berkulit sensitif mungkin mengalami iritasi atau keradangan selepas prosedur itu,” katanya.

Epilator pula merupakan alat elektrik yang menarik bulu menggunakan roda berputar.

Kesannya cepat dan tidak menyakitkan.

Namun, beliau menekankan aspek kebersihan sebagai faktor paling penting.

Selain itu, terdapat rawatan estetik lain seperti penggunaan krim, laser, intense pulsed light (IPL) dan electrolysis.

Katanya, krim penghilang bulu hanya menyingkirkan bulu di permukaan kulit dan tidak sesuai bagi kulit sensitif kerana berisiko menyebabkan chemical burn.

“Rawatan laser pula adalah pilihan paling biasa. Laser menyasarkan akar rambut untuk mengurangkan bulu dari masa ke masa, menjadikannya lebih halus dan jarang.

“IPL menggunakan cahaya bagi melemahkan bulu tetapi kurang berkesan kerana tidak tertumpu pada akar rambut,” katanya.

Rawatan electrolysis pula melibatkan pencucuhan elektrik pada setiap folikel rambut bagi menyingkirkannya secara kekal tetapi menyakitkan.

Menurutnya, rawatan laser lebih sesuai untuk individu berkulit cerah dengan warna bulu gelap kerana keberkesanan bergantung kepada perbezaan pigmen antara kulit dan bulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×