IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghormati keputusan semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025–2029 yang meletakkan jawatan serta-merta hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, tindakan meletak jawatan itu adalah keputusan semua AJK FAM dan pihaknya memilih untuk memberi ruang sepenuhnya kepada persatuan itu bagi menentukan langkah seterusnya.
Katanya, sebarang tindakan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat selepas menerima keputusan daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Saya menghormati (keputusan) dan kita menunggu CAS untuk berikan laporan sebelum kita keluarkan apa-apa kenyataan rasmi.
“Jadi untuk sementara ini cukup setakat itu saja. Saya tak boleh komen lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Perak Youth Center di Tambun, di sini hari ini
Menurut Mohammed Taufiq, perletakan jawatan itu juga tidak menjejaskan perjalanan dan aktiviti bola sepak negara, selain tidak memberi kesan kepada minat dan semangat rakyat terhadap sukan itu.
Katanya, bola sepak akan terus kekal sebagai sukan nombor satu yang diminati oleh rakyat Malaysia sekali gus diperkasakan bukan sahaja di peringkat nasional, malah di persada antarabangsa.
“Saya percaya perkara ini tidak menjejaskan aktiviti bola sepak atau semangat penyokong. Cuma buat masa sekarang kita beri ruang dan menghormati keputusan mereka.
“Keputusan (meletak jawatan) bukan terletak di bawah bidang kuasa KBS atau saya sendiri sebaliknya keputusan mereka sendiri. Jadi, kita menghormati keputusan yang telah dibuat,” katanya.
Terdahulu, FAM dalam kenyataannya berkata, keputusan meletak jawatan itu dibuat sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.
Menurut FAM, peletakan jawatan itu juga antara lain bertujuan menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan. – UTUSAN










