BUKIT MERTAJAM : Seramai 33 individu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang sepanjang tahun lepas bagi membantu siasatan berhubung kes-kes rasuah yang berlaku di negeri ini.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy, penahanan itu dibuat susulan penerimaan sebanyak 282 maklumat meliputi pelbagai aduan rasuah yang dilaporkan kepada mereka.
Beliau berkata, sepanjang 2025 juga, sebanyak 61 kertas siasatan telah dibuka dengan 28 daripadanya diteruskan sebagai kertas siasatan penuh untuk tindakan lanjut.
Katanya, sebanyak 60 pertuduhan turut dibuat berdasarkan rujukan kes-kes yang berlaku pada tahun sebelumnya selain tindakan tatatertib yang diambil terhadap sebilangan penjawat awam yang didapati terlibat dengan perbuatan tersebut.
“Kadang-kadang, maklumat yang kita terima ini (melibatkan penjawat awam) agak umum dan ada juga yang tidak berkaitan dengan SPRM. Jadi, dalam hal ini, kita akan rujuk kepada jabatan yang terlibat untuk diambil tindakan tatatertib dan sebagainya,” kata beliau.
Karunanithy ditemui pemberita semasa beliau menghadiri Program Dialog Kerusi Panas: Perolehan Tanpa Rasuah di Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Karunanithy berkata, SPRM pernah memberi ganjaran kepada satu jabatan kerajaan sehingga mencecah RM200,000 kerana melaporkan satu kes berkaitan rasuah dan bekerjasama membanteras isu tersebut sebelum ini.
Katanya, ganjaran itu diberi berdasarkan nilai sogokan yang ditawarkan kepada penerima rasuah dan hampir setiap tahun juga, pemberi maklumat ini akan dihargai dengan ganjaran wang serta sijil penghargaan daripada SPRM.
“Kita gerakkan usaha ini (memberi ganjaran) secara berterusan untuk menimbulkan ketakutan kepada pemberi rasuah selain menghargai mereka yang berani tampil ke hadapan (untuk melaporkan kes rasuah),” katanya yang memberitahu, SPRM juga akan menyiasat kandungan surat layang berkaitan rasuah yang diterima jika ia mengandungi maklumat asas termasuk penerima dan sebagainya.-UTUSAN










