PETALING JAYA: Undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) merupakan ‘senjata’ utama bagi membendung kegiatan ekstremis dan ancaman keganasan di negara ini.
Ini terbukti apabila sebanyak 26 cubaan serangan pengganas dan militan di Malaysia berjaya digagalkan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 12 tahun dari 2012 hingga 2024 menggunakan akta-akta terbabit.
Ia termasuk rancangan serangan terhadap rumah ibadat, premis awam dan lokasi tumpuan antaranya cubaan serangan bom di Putrajaya termasuk rancangan menculik individu-individu tinggi termasuk Perdana Menteri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tanggapan segelintir pihak termasuk pejuang hak asasi dan ahli politik yang sebelum ini memperjuangkan pemansuhan undang-undang pencegahan terbabit terhadap keupayaan suspek-suspek yang ditangkap adalah tidak berlandaskan realiti ancaman sebenar.
Beliau menegaskan, hak asasi sememangnya diiktiraf namun ia perlu diimbangi dengan keperluan keselamatan negara.
“Dalam konteks Bahagian E8, Cawangan Khas, tindakan pencegahan berjaya diambil di bawah peruntukan SOSMA, POTA dan POCA dengan komitmen tinggi pegawai dan anggota yang menjalankan tugas tanpa mengira penat lelah.
“Kejayaan Bahagian E8, Cawangan Khas dalam mengesan dan menangkap anggota-anggota pengganas tersebut serta berjaya menggagalkan rancangan serangan-serangan ganas di Malaysia tersebut tidak memberi apa-apa impak kepada pejuang-pejuang hak asasi, peguam-peguam hak asasi dan segelintir ahli-ahli politik kerana tidak ada korban nyawa.
“Inilah faktor utama kenapa golongan ini terus memperjuangkan agar ISA, SOSMA, POTA, POCA dan lain-lain undang-undang pencegahan dimansuhkan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau turut menyentuh sikap segelintir ahli politik yang didakwa mengeksploitasi maklumat tidak tepat mengenai prosedur tangkapan serta tempoh siasatan dan reman di bawah SOSMA bagi meraih kepentingan politik, tanpa mendapatkan penjelasan fakta sebenar daripada pihak polis.
“Mungkin apabila tangan dan kaki kami ‘diikat’ dan tidak diberi sebarang ‘senjata’ dalam bentuk undang-undang pencegahan dan berlakunya serangan besar-besaran oleh anggota pengganas atau militan, ketika itu sudah terlambat.
“Yang akan menanggung balanya adalah masyarakat keseluruhannya tidak kira sama ada mereka menyokong atau tidak pemansuhan undang-undang pencegahan seperti ISA, SOSMA, POTA, dan POCA,” katanya.
Menurut Ayob Khan, sebanyak 26 cubaan serangan membabitkan 13 rancangan secara berkumpulan (wolf pack) manakala 15 lagi secara persendirian (lone wolf) sejak 2012 hingga 2024.
Jelas beliau, ia termasuk serangan bom ke atas sebuah pub di Puchong pada 28 Jun 2016 dan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024, yang mengorbankan dua anggota polis.
“Dalam tempoh terbabit, Bahagian E8 turut berjaya menahan 75 anggota kumpulan militan dan pengganas yang merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia.
“Mereka yang ditahan ini berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi yang diperjuangkan oleh kumpulan itu.
“Antara rancangan serangan ganas yang berjaya dipatahkan oleh Bahagian E8 Cawangan Khas, termasuk cubaan melancarkan serangan menggunakan bahan letupan buatan sendiri (Improvised Explosive Device (IED)) terhadap kedutaan asing di Kuala Lumpur pada 2012, serta pusat hiburan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 2013,” katanya. – UTUSAN









