PETALING JAYA: Sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$10 bilion antara Malaysia dan Turkiye disifatkan realistik, didorong komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka peluang kolaborasi baharu dalam pelbagai sektor strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu realistik mengambil kira kekuatan ekonomi Turkiye serta pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia yang kini menjadi tumpuan pelaburan bernilai tinggi.
“Sasaran AS$10 bilion itu sebenarnya tidak terlalu bercita-cita tinggi kerana Turkiye mempunyai ekonomi yang kukuh. Manakala Malaysia, walaupun bersaiz lebih kecil, berkembang dengan sangat pantas dan kini menjadi tarikan utama dalam sektor semikonduktor, pusat data kecerdasan buatan serta teknologi baharu,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, Ankara, Turkiye.
Terdahulu, Anwar dan Erdogan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Turut dimeterai, MoU antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA).
Selain itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Surat Setuju Terima Perolehan satu unit Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2, sebagai sebahagian pengukuhan kerjasama pertahanan dua hala.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan Turkiye bersetuju meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).
Katanya, usaha itu bagi mempercepat kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin mencabar.
“Kami sedar bahawa kerjasama yang bersifat praktikal sahaja tidak lagi mencukupi dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ketika ini.
“Keadaan ini menuntut pendekatan dan dasar baharu yang lebih menyeluruh, khususnya bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.
Terdahulu, Malaysia dan Turkiye memperkukuh kerjasama dua hala dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara Anwar dan Recep Tayyip dengan kedua-dua turut menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama negara.
Sebelum itu, Anwar diberi sambutan rasmi oleh kerajaan Turkiye.
Perdana Menteri juga dianugerahkan Order of the Republic, darjah kebesaran tertinggi Turkiye sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.
Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Turkiye dalam satu majlis rasmi di Kompleks Presiden, bersempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke republik itu.-UTUSAN










