Malaysia catat kejayaan sebagai Pengerusi ASEAN 2025

Malaysia catat kejayaan sebagai Pengerusi ASEAN 2025

ANWAR Ibrahim (dua kiri) menyerahkan plak penghargaan Tonggak Politik Keselamatan kepada Mohamad pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di MAEPS, Serdang, Selangor hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Malaysia berjaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan membuktikkan kebolehan negara di mata antarabangsa serta pemimpin global.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemimpin dunia bukan sahaja memuji Malaysia dalam aspek mengendali logistik tetapi juga dalam aspek mengurus kedatangan dan ketibaan pemimpin-pemimpin dunia serta kemesraan melayani tetamu.

“Kita telah berjaya menjadi Pengerusi ASEAN 2025 walaupun melalui berbagai-bagai masalah dalam geopolitik dunia yang tidak menentu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof

Mohamad berkata, kejayaan itu bukan sahaja daripada sudut menghubungkan ASEAN dengan pelbagai negara lain tetapi turut mengiktiraf Timor-Leste sebagai anggota ke-11

“Inilah kepercayaan masyarakat ASEAN dan Malaysia sehinggakan kedua-dua buah negara bersahabat (iaitu) Thailand dan Kemboja yang bersengketa tentang masalah sempadan, mereka datang ke Malaysia untuk menyelesaikan masalahnya.

“Jadi ini merupakan suatu kebanggaan kepada kita sebagai tuan rumah, penyelaras dan pemudah cara,” katanya.

Tambahnya, penerimaan masyarakat antarabangsa terhadap Anwar selaku Perdana Menteri juga memainkan peranan dalam kejayaan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Itu memudahkan kami, kami menjalankan urusan logistiknya dan berjaya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN