SHAH ALAM: Raja Azura menarik nafas lega susulan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan pengacara dan pelakon terkenal itu terhadap bekas suaminya, Adzmin Osman.
Kebenaran itu diputuskan Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim selepas berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung, pagi tadi.
Peguam Syarie mewakili Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan, memaklumkan permohonan itu membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 berkaitan nafkah anak dan nafkah idah yang masih gagal dilaksanakan Adzmin selaku responden sehingga kini.
“Selepas berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan anak guam saya, hakim telah meluluskan kebenaran untuk defendan memulakan pelaksanaan tuntutan nafkah anak dan nafkah Idah terhadap responden.
“Jadi apabila sudah mendapat kelulusan mahkamah, kami akan memfailkan saman untuk menyeru responden hadir ke mahkamah dan memberitahu dihadapan hakim tentang kemampuannya untuk melunaskan tunggakkan nafkah dan menjelaskan apa puncanya dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya itu.
“Setakat ini belum ada perjumpaan dibuat kedua pihak tapi saya nasihatkan kepada anak guam saya, dengan apa cara sekalipun, sedaya upaya kami akan cari responden.
“Bila dapat heret responden ke mahkamah nanti barulah mudah untuk pihak anak guam saya membuat tuntutan nafkah tersebut,” katanya. Yang penting dia kena laksanakan perintah, bayar nafkah sebab itu bukan sahaja di bawah undang-undang di dunia ini bahkan ia adalah petintah Allah S.W.T,” katanya ketika ditemui selepas prosiding permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Salehan dalam masa yang sama memaklumkan pembayaran nafkah yang jumlah keseluruhannya mencecah hampir RM1 juta itu perlu dilunaskan mengikut kaedah yang dipersetujui defendan mengikut pertimbangan mahkamah.
“Memang ada kaedah yang responden boleh gunakan untuk melunaskan tunggakkan pembayaran nafkah berkenaan. Tetapi ia terpulang kepada perbincangan dan pertimbangan pihak mahkamah.
“Yang penting, dalam apa cara sekalipun. Dia kena bayar mengikut persetujuan pemohon.
“Pihak pemohon pun tidak ada masalah mengenai perkara itu. Asalkan responden hadir ke mahkamah dan beri kerjasama. Berapa yang dia mampu bayar, itu boleh dibincangkan.
“Kita mahu dia hadir ke mahkamah, beri penjelasan berapa mampu dia bayar, itu sahaja. Pihak mahkamah sebenarnya terbuka untuk menerima apa sahaja cadangan daripada pemohon dan responden,” jelasnya.
Dalam pada itu, Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku memaklumkan sebelum ini dia telah membuat permohonan melalui iklan bagi menyeru bekas suaminya hadir ke mahkamah, namun usaha itu gagal.
“Mungkin dia tidak mahu jumpa saya atau mungkin ada sebab lain, saya pun tidak tahu.
“Apa yang kita mahukan hanyalah kehadirannya untuk mengakui bahawa perintah nafkah itu tidak dilaksanakan, namun pada tarikh ditetapkan pun dia tidak hadir,” katanya.
Raja Azura September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin, yang gagal melunaskan mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.
Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 2001 namun bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.










