KUBANG PASU: Sebuah lori jenis rigid kargo ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana cuba menyeludup keluar minyak diesel di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu dikesan kira-kira pukul 10 malam ketika pegawai penguat kuasa AKPS bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan asing yang memasuki kompleks itu.
Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Saiful Jefrey berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut telah diubah suai pada bahagian tangki simpanan dipercayai bagi menyembunyikan minyak diesel.
“Pemeriksaan menyeluruh menemukan sebanyak 2,900 liter minyak diesel yang disembunyikan di dalam tangki ubah suai itu. Modus operandi ini dipercayai bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa dan menyeludup minyak diesel ke Thailand,” katanya.
Menurut Saiful, nilai minyak diesel tersebut adalah RM8,352, manakala lori dianggarkan RM60,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM68,352.
Katanya, diesel berkenaan dirampas manakala lori tersebut turut disita bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6, Akta Petroleum (Jualan dan Pembekalan) 1987 dan Seksyen 64(1) akta sama.
“Maklumat lanjut berkaitan individu, agen atau syarikat terlibat masih dalam siasatan. Namun, rampasan ini membuktikan komitmen berterusan AKPS bersama agensi lain dalam memastikan sempadan negara sentiasa dalam kawalan dan tidak disalahgunakan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya agensi penguat kuasa melalui pengubahsuaian kenderaan bagi tujuan penyeludupan,” ujarnya. – UTUSAN










