KUALA LUMPUR: Pengacara dan penulis lirik, Fedtri Yahya meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pengkarya yang memilih untuk mengetengahkan lirik berunsur lucah atau ‘double meaning’ dalam lagu dangdut tempatan.
Fedtri atau Ahmad Fedtri Yahya, 44, berkata irama dangdut di Malaysia mempunyai identiti tersendiri yang sinonim dengan kesopanan serta keindahan pemilihan seni kata.
“Sepanjang pengetahuan saya, dangdut Malaysia ini sebenarnya sopan dan liriknya berlapis. Dahulu, kita mempunyai penapisan yang ketat. Walaupun lagu bertemakan meminang, bahasanya tetap murni dan indah.
“Namun kini, saya sendiri berasa segan apabila membaca lirik yang dikirimkan oleh orang ramai. Bayangkan jika kita membawa keluarga mendengar lagu dengan gerakan sedemikian dan perkataan berunsur ‘double meaning’ disebut secara terbuka. Perkara ini sensitif kerana boleh membawa pemikiran ke arah yang tidak baik,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia pada majlis tayangan perdana filem A Voice of Hind Rajab di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Fedtri mengakui kesal apabila ada pihak sanggup memasukkan elemen seksual semata-mata untuk melariskan karya.
“Semua orang boleh menulis lirik, tetapi yang mahal ialah seni kata. Setiap susunan perkataan perlu ada nilai dan keindahan. Namun kini, ada yang terang-terangan menggunakan perkataan seperti ‘menujah’ atau ‘masuk’ yang jelas merujuk kepada unsur lucah.
“Sebagai pengkarya, perkara ini mendatangkan kemarahan. Kita mahu melakukan revolusi dalam muzik, tetapi bukan dengan cara sebegini. Jangan kerana mahu ‘viral’ dan diperkatakan, maruah seni digadaikan,” tegasnya.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-33, turut bimbang sekiranya lirik sedemikian memberi gambaran dan imaginasi negatif, khususnya kepada golongan muda.
“Kanak-kanak darjah enam, pelajar tingkatan satu, semuanya sudah pandai meniru gaya-gaya tersebut. Itu yang menakutkan. Sedangkan kita boleh menjadi ‘viral’ melalui perkara yang positif.
“Lihat sahaja contoh lagu Cak Cak Cekuk yang tular dalam kalangan kanak-kanak, namun imejnya baik dan murni. Mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan dalam genre lain?” soalnya.
Sementara itu, Fedtri menyeru agar pihak berkuasa serta kementerian berkaitan mengambil tindakan tegas bagi membendung penularan karya yang mencemarkan nilai seni dan budaya tempatan.
Beliau turut membandingkan situasi itu dengan tindakan tegas yang pernah diambil terhadap seorang penyanyi lelaki yang membuka baju di atas pentas suatu ketika dahulu.
“Mengapa ketegasan yang sama tidak dilaksanakan? Ini bukan soal menghukum rakan artis, tetapi memberi kesedaran.
“Penulis lirik hebat yang saya hormati seperti Lukhman S, Amran Omar dan Habsah Hassan pernah berkata, rahsia lirik yang baik adalah bermunajat kepada Ilahi untuk mendapatkan ilham.
“Kalau menghasilkan dangdut lucah, takkan mahu bermunajat? Maksudnya, pengkarya perlu kembali ke landasan yang betul,” katanya. -UTUSAN










