Lima tahun parit Kampung Seberang Pekan tidak diselenggara

Lima tahun parit Kampung Seberang Pekan tidak diselenggara, punca banjir

ASHROLDIN Abdul Rashid menunjukkan keadaan sistem perparitan yang dipenuhi semak-samun dipercayai tidak diselenggara sejak lima tahun lalu. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Penduduk Kampung Seberang Pekan di sini kecewa kerana terus berdepan masalah banjir kilat yang didakwa berpunca daripada sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sejak lima tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, longkang di kampung itu dipenuhi semak-sa­mun selain terdapat longgokan mendapan tanah dan pasir yang menghalang aliran air.

Penduduk, Ashroldin Abdul Rashid, 65, berkata, longkang yang tersumbat menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar terutama apabila hujan berterusan.

Katanya, keadaan itu sekali gus mengakibatkan banjir kilat lantas menjejaskan rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah dan berhampiran su­ngai.

“Apabila longkang tidak di­selenggara, air tidak dapat ditampung dan menyebabkan banjir menjejaskan beberapa buah rumah,” katanya ketika ditemui.

Ashroldin berkata, sebahagian jalan di kampung itu juga tidak diselenggara secara berkala walaupun aduan telah dibuat.

Katanya, keadaan jalan yang tidak diturap dengan sempurna dan berlubang turut menjadi faktor kepada masalah aliran air apabila pasir dan mendapan memasuki sistem perparitan.

“Paip air di sini juga sudah uzur. Ada yang berusia hampir 60 tahun dan masih menggunakan paip asbestos simen (AC) sehingga sering pecah, ada kala­nya sehingga empat atau lima kali sebulan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zaniyah Mohd. Yusof, 63, berkata, selain banjir kilat, penduduk turut berdepan risiko ancaman haiwan berbisa akibat kawasan kampung yang dipenuhi semak-samun.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kehadiran haiwan berbisa seperti ular tedung selar yang kerap dilihat melintas jalan dan menghampiri kawasan rumah terutama pada musim panas.

“Sebelum ini kerja-kerja pembersihan sungai dan ka­wasan sekitar dilakukan se­kurang-kurangnya setahun sekali, namun kini tidak lagi dilaksanakan secara berkala.

“Kawasan ini memang dari dulu ada ular tetapi tidak selalu. Sekarang ini sudah kerap lihat ular tedung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN