IPOH: Lelaki yang didakwa mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Bandar Baru Putra, Bercham minggu lalu, diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, Muhammad Aiman yang memakai pakaian hospital membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah kepada bapanya, Suhaimi Dawi, 58, dan ibu, Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada pukul 6.30 pagi, 26 Disember 2025.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa memberitahu mahkamah bahawa ibu bapa tertuduh yang cedera dalam kejadian itu, masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Beliau berkata, tertuduh selepas kejadian telah memanjat bumbung rumah sebelum menjerit dengan laungan Allahuakbar.
“Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah dimohon merujuk lelaki itu ke HBUK bagi menjalani pemeriksaan mental,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Menerusi laporan media, suspek yang dipercayai mengalami masalah mental itu ditahan pihak polis selepas mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian amuk di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra.
Berdasarkan siasatan, suspek mendakwa tidak sedarkan diri ketika bertindak demikian selain memberitahu yang dia berasa dikejar hantu semasa kejadian berlaku.
Hasil semakan pihak polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan dia pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini. – UTUSAN










