PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali membuat laporan polis berhubung gangguan kritikal bekalan air di Kinarut dan Kawang, Papar di Sabah dipercayai berpunca daripada unsur sabotaj terhadap infrastruktur utiliti awam.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, laporan itu dibuat susulan dapatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengesan berlaku ‘gangguan’ ke atas injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pump) yang membekalkan air ke kawasan berkenaan sejak hujung Disember lalu.
Menurutnya, gangguan tersebut menyebabkan sumber bekalan air ke kawasan sedia ada dalam jadual catuan bertambah, sekali gus mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk
“Bersandarkan kepada laporan tersebut, saya telah membuat keputusan untuk membuat laporan polis sendiri di Balai Polis Kinarut, malam semalam.
“Tujuan laporan dibuat adalah meminta polis membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur dan utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Menurutnya, walaupun JANS memberikan komitmen untuk melakukan siasatan dalaman namuan keadaan terbabit perlu disiasat polis kerana melibatkan unsur kesalahan jenayah.
“Saya berharap polis akan membuat tindakan susulan segera,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, satu mesyuarat khas bersama jabatan dan agensi berkaitan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi mengenal pasti beberapa strategi mengatasi gangguan bekalan air yang akan dilaksanakan segera.
Jelasnya, ia bagi memastikan penghantaran bekalan melalui ‘water tanker’ diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Antara strategi dikenal pasti ialah melaksanakan penyambungan silang antara rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon (P1) terus kepada rangkaian paip tangki utama Kawang (P3).
“Usaha lain juga diambil bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan rawatan air LRA Kogopon 1 sedia ada sebanyak 10 peratus daripada kadar kapasiti maksimum semasa 40 JLH sebagai langkah interim sehingga LRA Kogopon 2, yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti tambahan 40 JLH, siap pada suku keempat 2026.
“Peningkatan kapasiti LRA Kogopon 1 memerlukan naik taraf dan penggantian tiga buah pam rawatan air di LRA Kogopon,” katanya.- UTUSAN










