Lelaki maut ditembak di sebuah kedai cuci kereta

Lelaki maut ditembak di sebuah kedai cuci kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seorang lelaki tempatan berusia 30-an maut selepas ditembak pada bahagian badan dan kaki di sebuah kedai cuci kereta di sini, kira-kira pukul 10.40 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian tembakan itu dipercayai dilakukan oleh seorang suspek yang tidak dikenali oleh mangsa.

Katanya, berdasarkan keterangan daripada saksi yang berada di lokasi kejadian, suspek bersama seorang lagi lelaki tiba di lokasi dengan menaiki sebuah motosikal.

“Suspek yang membonceng motosikal ketika itu kemudian turun dan melepaskan beberapa das tembakan jarak dekat ke arah mangsa manakala rakannya menunggu di atas motosikal.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Taiping di Perak, namun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Alwi berkata, ketika kejadian, kedua-dua suspek dikatakan memakai pakai gelap dan bertopi keledar manakala senjata api yang digunakan untuk menembak mangsa pula disyaki jenis semi automatik.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum mati atau dipenjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun serta dikenakan sebatan,” ujar beliau.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu juga diminta untuk tampil ke depan untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Hafzan Amrie Hasim di talian 012-8188389.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN