Lelaki Indonesia didenda RM300 buang sampah

Lelaki Indonesia didenda RM300 buang sampah

JUFRI Zulkifli dikawal anggota polis dan penguatkuasa SWCorp selepas dikenakan denda RM300 kerana membuang puntung rokok di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Indonesia didenda RM300 dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal di tempat awam.

Keputusan dibuat Hakim N. Priscilla Hemamalini selepas orang kena saman (OKS), Jufri Zulkifli, 39, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, buruh binaan itu didakwa membuang puntung rokok di tempat awam, bukan ke dalam bekas yang diperuntukkan bagi tujuan pelupusan sisa pepejal. 

Perbuatan itu dilakukan sekitar Menara Alor Setar pada pukul 12.10 tengah malam, 1 Januari lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang membolehkan mahkamah mengenakan denda dan perintah khidmat masyarakat mengikut Subseksyen 77A(2) dan 77B(1). Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, manakala OKS tidak diwakili peguam.

Kes Jufri merupakan yang kedua di negara ini dijatuhkan hukuman mengikut akta tersebut sejak ia dikuatkuasakan awal tahun ini. 

Sebelumnya, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM500 dan khidmat masyarakat enam jam kepada ibu tunggal warga Indonesia, Anita Lukman, 49, atas kesalahan membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam.

Sementara itu, pertuduhan terhadap lelaki warga Bangladesh, Sultan MD, 28, akan dibacakan semula pada 28 Januari depan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana memerlukan khidmat jurubahasa Bangladesh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN