PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki susulan satu kejadian samun melibatkan seorang mangsa wanita warga Vietnam di Taman Sri Bahtera, di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku semasa mangsa sedang sembahyang di sebuah tokong tepi padang permainan.
“Mangsa kehilangan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro Max, sepasang AirPods serta wang tunai berjumlah RM150,” katanya dalam kenyataan.
“Susulan maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Cheras telah menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Taman Sri Bahtera pada pukul 9.15 malam pada hari sama.
Tambah Rosdi, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
“Suspek dibawa ke mahkamah semalam untuk proses reman dan permohonan reman telah dibenarkan selama empat hari,”katanya.
Menurutnya,suspek berusia 24 tahun merupakan seorang pembantu gerai burger dan memiliki 12 rekod kes jenayah dan dadah. – UTUSAN










