Lelaki ditahan guna MyKad orang lain tebus BUDI95

Lelaki ditahan guna MyKad orang lain tebus BUDI95

SEORANG lelaki bersama kenderaan yang ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas disyaki menyalahgunakan kad pengenalan diri orang lain untuk menebus BUDI95 bagi tujuan penyeludupan di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi
tujuan penebusan subsidi petrol menerusi inisiatif penyasaran subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, suspek berjaya dikesan dalam operasi Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) yang dijalankan sepasukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi itu hampir tiga minggu sebelum berjaya dikesan.

“Ini merupakan kali pertama suspek ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi mendapatkan subsidi petrol secara tidak sah.

“Suspek ditahan di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan pihak polis turut merampas dua keping kad pengenalan diri Malaysia berwarna biru untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Radzi berkata, dalam kes kedua, PGA berjaya menumpaskan cubaan menyeludup barangan kawalan bersubsidi di Kampung Tasik Berangan, Jeram Perdah kira-kira pukul 4.30 petang,semalam.

“Seorang lelaki ditahan selepas dokumen berkaitan barangan yang dibawa didapati meragukan dan dipercayai bertujuan untuk diseludup masuk ke Thailand.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan rampasan melibatkan sebuah van Nissan Vanette, 240 paket gula jenama Prai bernilai RM684 serta 493 paket minyak masak jenama DW7 bernilai RM1,232 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM31,916.50,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×