KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihukum penjara lima bulan selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu RM100 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ibnul Qayyum Shaharul Nizam, 33, yang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapanya dibacakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, dia yang berniaga sendiri telah menggunakan mata palsu itu walaupun mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai wang RM100 itu palsu di meja kaunter sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, pada 10 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, seorang lelaki India yang merupakan pengurus pengawal membuat laporan polis selepas seorang staf di hotel tersebut telah menerima wang palsu itu daripada seorang lelaki. Tertuduh datang ke hotel itu dengan niat ingin menukar sekeping wang palsu itu kepada mata wang RM10.
Pihak hotel membuat semakan melalui mesin pengesan wang dan mendapati mata wang tersebut adalah palsu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana hukuman penjara yang dilalui bagi kesalahan lain menginsafkan dirinya.
“Saya adalah penanggung utama dalam keluarga dan menanggung seorang ibu. Hukuman penjara yang saya jalani membuatkan saya insaf dan tidak akan berkompromi dengan apa-apa kes jenayah lain. Saya memohon agar pertuduhan ini dapat bermula dengan hukuman yang saya sudah jalani sekarang,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh dipenjarakan pada 11 November 2025. – UTUSAN










