Latihan pemanduan akan ditambah baik, fokus kepada keselamatan jalan raya 

Latihan pemanduan akan ditambah baik, fokus kepada keselamatan jalan raya 

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong usaha menambah baik kurikulum latihan pemanduan dengan memberi penekanan utama kepada aspek keselamatan jalan raya, berbanding pendekatan sedia ada yang lebih tertumpu kepada kelulusan peperiksaan semata-mata.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahbaikan tersebut tidak seharusnya terhad kepada latihan penunggang motosikal sahaja, sebaliknya melibatkan semua kategori pemandu termasuk kenderaan persendirian dan kenderaan berat.

Katanya, isu keselamatan jalan raya perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada satu jenis kenderaan.

“Kita perlu ubah pendekatan latihan pemanduan supaya ia benar-benar membentuk pemandu yang berhemah dan selamat, bukan sekadar memastikan mereka lulus ujian memandu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

Terdahulu, Abdul Latiff mencadangkan agar Kementerian Pengangkutan menyemak semula kaedah latihan pengambilan lesen motosikal yang disifatkan terlalu berorientasikan kelulusan, sebagai langkah mengekang kadar kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kursus pemulihan terhadap pemandu kenderaan berat yang digantung lesen ketika ini telah pun dilaksanakan.

Katanya, pendekatan tersebut tidak bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada proses pendidikan semula bagi membentuk sikap pemandu yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin di jalan raya.

“Kita mahu mewujudkan satu budaya keselamatan yang menyeluruh merangkumi penunggang motosikal, pemandu kereta dan juga kenderaan berat. Keselamatan perlu menjadi keutamaan bersama,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya akan mengemukakan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) keperluan menyediakan lorong khas motosikal bagi projek lebuh raya baharu.

Walaupun Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya pembinaan laluan khas berkenaan, Anthony Loke menjelaskan bahawa pelaksanaannya tertakluk di bawah bidang kuasa KKR.

Beliau turut mengakui wujud kekangan untuk mereka bentuk semula lorong motosikal di lebuh raya sedia ada.

“Bagi perancangan masa hadapan, keperluan menyediakan laluan khas motosikal di lebuh raya baharu perlu dipertimbangkan oleh pihak KKR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN