KAJANG: Syazwan Zulkifly, 39, memutuskan untuk menangguhkan perkahwinan dengan pramugari, Syawariah Zulkifli.
Selain kekangan masa, kata Syazwan keputusan itu dibuat ekoran beberapa urusan yang belum dilunaskan.
“Awalnya memang kami merancang untuk berkahwin. Tetapi masih ada hal yang nak dikejarkan.
“Jadi, kami kejar mana yang boleh, soal kahwin boleh kami uruskan selepas itu.
“Sebenarnya, kalau dia kata nak kahwin esok, saya teruskan sahaja. Saya okey saja sebenarnya, umur pun sudah 39 tahun,” katanya yang ditemui ketika sesi penggambaran drama Pak Su Ammara baru-baru ini.
Syazwan dan Syawariah mengikat tali pertunangan pada 31 Ogos 2019 namun sepakat memutuskannya pada Mac 2020.
Percintaan mereka bertaut kembali sebelum Syazwan memaklumkan perancangan mereka untuk mendirikan rumah tangga tahun lalu.
Kata Syazwan, tidak timbul perbalahan antara dia dan Syawariah memandangkan keduanya matang dalam mengendalikan penangguhan tersebut.
“Kami ada bercakap soal kahwin ini, tapi tak adalah tergesa-gesa. Kursus kahwin pun kami tak ambil lagi.
“Jadi, macam mana nak melangkah fasa seterusnya sedangkan perkara wajib pun tak buat lagi? Namun kami memang ada bincang bila nak pergi cuma tiada sebarang ketetapan lagi,” jelasnya.
Syazwan juga memberitahu campur tangan keluarga juga tidak pernah berlaku dan keputusan yang diambil adalah persetujuan bersama.
“Ibu bapanya sudah tiada, sementara mak saya pun sudah meninggal dunia. Ayah saya okey dan ikut saja kalau saya sudah bersedia (berkahwin).
“Saya ikut sahaja aturan Tuhan. Mungkin lepas Hari Raya Aidilfitri, atau dua tahun kemudian. Kami pun tak tahu,” ujarnya. – UTUSAN










