PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan program khas atau libat urus bersama kepimpinan mahasiswa universiti-universiti bagi membincangkan hala tuju dan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau menjangkakan sesi pertemuan khas itu akan dapat dilaksanakan awal Februari ini.
Beliau berkata, program itu juga akan melibatkan pimpinan utama mahasiswa universiti awam dan sebahagian universiti swasta serta politeknik.
“Setiap universiti ada pimpinan utamanya, 20 orang pimpinan utama, dan kita ada 20 universiti.
“Dan saya minta supaya ia (program khas) melibatkan juga Politeknik dan termasuk juga sebahagian universiti swasta juga.
“Jadi dengan adanya program itu, kita dapat berinteraksi secara santai dan secara terbuka selain mendengar pandangan-pandangan mereka (mahasiswa) ke arah kita melaksanakan RPTM,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di sini, hari ini.
Mengulas pertemuan dengan MPPPK, Dr Zambry berkata, pertemuan hari ini ialah bagi membincangkan langkah-langkah seterusnya pelaksanaan pelan pendidikan berkenaan.
“Seperti yang saya sebutkan semalam, iaitu antara cabaran utama kita selepas peluncuran pelan tersebut ialah bagaimana kita nak melaksanakannya.
“Yang melibatkan antara komponen penting ialah para mahasiswa kita dalam konteks universiti, dalam konteks Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Pada hari ini, mereka dapat mengadakan pertemuan awal dengan saya kerana mereka ini adalah presiden-presiden daripada majlis perwakilan mahasiswa, kesatuan pelajar dan kesatuan mahasiswa daripada universiti-universiti,” katanya.
Katanya, beliau sempat membincangkan beberapa langkah seterusnya bagi memastikan langkah pelaksanaan pelan pendidikan itu berjalan seperti dirancang. – UTUSAN








