PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sedia bersemuka dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membincangkan pindaan melibatkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Timbalan Presiden MPPK, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, perbincangan itu perlu kerana melibatkan beberapa seksyen yang bakal mempengaruhi landskap kepimpinan mahasiswa di universiti.
“Kami menyedari bahawa pindaan kali ini sangat mustahak kerana untuk mencapai ruang dan peluang hari ini tidak semudah yang disangka.
“Ia mengambil masa bertahun untuk pindaan bahagian penglibatan mahasiswa dapat dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat pembangunan smart skills dan sharp skills mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, KPT mengalu-alukan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mana-mana universiti yang masih tidak berpuas hati atau kurang jelas tampil berbincang dan mendengar penjelasan berhubung pindaan Auku 1971.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, pihaknya memberi ruang seluasnya kepada mahasiswa tampil berbincang berikutan pihaknya sentiasa terbuka dan mendengar keluhan pelajar serta akan memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut, Mohamed menyeru kepada mana-mana badan mahasiswa yang ingin terlibat dalam melontarkan idea untuk bergerak bersama.
“Banyak respon yang konstruktif perlu diambil kira supaya sewaktu pindaan Auku kelak memang meliputi segala aspek,” jelasnya. – UTUSAN










