KPSM bantu perkasa ekonomi pekebun kecil sawit

KPSM bantu perkasa ekonomi pekebun kecil sawit

AHMAD Parveez Ghulam Kadir (empat dari kiri diiringi Guru Besar SK Kemabong, Tenom, Mohd. Azlan Mohd. Arfan Salim (tiga dari kanan) smenyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada wakil pelajar sekolah tersebut semasa Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Sekolah Kebangsaan Kemabong di Tenom, Sabah. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 220,000 pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara kini berupaya memperkukuh kedudukan ekonomi mereka menerusi penglibatan aktif dalam Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

Langkah itu adalah sebagai strategi ampuh dalam mendepani cabaran ekonomi global, selain memastikan kelestarian pendapatan bagi keluasan tanaman sawit yang kini mencecah lebih 866,000 hektar di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya kekal komited menyediakan bimbingan teknikal dan khidmat nasihat melalui 49 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara bagi memastikan golongan itu terus berdaya saing.

“KPSM berpotensi meningkatkan pendapatan ahli melalui pengurusan ladang yang lebih cekap, pengurangan kos operasi serta penyediaan akses yang lebih baik kepada pasaran dan perkhidmatan sokongan industri.

“Melalui kerjasama kolektif ini, koperasi boleh menceburi aktiviti keusahawanan seperti pembekalan baja, barangan keperluan pekebun kecil, perkhidmatan membaiki jalan, stesen minyak serta boleh menjual tandan buah segar (TBS) secara terus kepada kilang bagi mendapatkan harga yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Parveez turut melancarkan Pusat Timbang Kedua KPSM Apin-Apin Bingkor Berhad di Apin-Apin bagi memperkukuh sistem pemasaran TBS di kawasan setempat.

Kemudahan itu dijangka meningkatkan ketelusan proses penimbangan serta mengurangkan kos logistik, sekali gus membolehkan pekebun kecil menikmati harga jualan yang lebih kompetitif dan adil.

Menurutnya, sektor sawit terus menjadi tunjang ekonomi negara dengan menyumbang lebih RM112 bilion kepada pendapatan eksport bagi tahun 2025.

“Industri ini bukan sahaja menjana tukaran wang asing yang besar, malah mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Penggunaan minyak sawit juga sangat luas, merangkumi sektor makanan, kosmetik, ubat-ubatan hingga kepada bahan api hijau atau biodiesel,” katanya.

Terdahulu, dalam program bersama masyarakat di Kemabong, MPOB turut menyumbangkan set peralatan sekolah kepada 500 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong.

Selain sumbangan material, MPOB turut mengedarkan bahan bacaan seperti The Palm Comics dan buku resipi Sawit Dalam Sajian bagi memupuk kesedaran generasi muda terhadap kepentingan sains dan teknologi dalam pembangunan industri sawit negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN