KPMB salur RM15 juta bantu pelajar asnaf, anak yatim

KPMB salur RM15 juta bantu pelajar asnaf, anak yatim

SHAMSUDIN Mat menyampaikan sumbangan kepada pelajar anak yatim, asnaf, B40 di Cyberjaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) memperuntukkan sebanyak RM15 juta sebagai dana pembiayaan pendidikan bagi membantu 1,500 pelajar daripada golongan asnaf, anak yatim dan berpendapatan rendah (B40) melanjutkan pengajian dalam bidang keselamatan dan penyiasatan.

Peruntukan itu disalurkan menerusi kerjasama strategik antara KPMB dan Kolej Pengajian Keselamatan Penyiasatan Malaysia (KPKPM) sebagai usaha meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.

Pengerusi KPMB, Datuk Shamsudin Mat berkata, pihaknya memilih kolej itu kerana masih terdapat kelemahan dari segi kefahaman undang-undang dalam kalangan sebahagian anggota penguat kuasa, termasuk di jabatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam negara kita, masih terdapat anggota penguat kuasa yang kurang pendedahan menyeluruh terhadap bidang kuasa dan peruntukan undang-undang sebenar, sama ada di peringkat jabatan mahupun pihak berkuasa tempatan.

“Tindakan penguatkuasaan sepatutnya tertumpu kepada pelaksanaan pelesenan dan pematuhan undang-undang, bukan bertindak di luar kuasa tanpa perintah mahkamah. Kekeliruan mengenai sempadan kuasa dan hak inilah yang boleh membawa kepada salah laku,” katanya di sidang media di sini, hari ini.

Katanya lagi, dengan program-program pendidikan seumpama itu, ia dapat membantu meningkatkan kefahaman undang-undang, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

Menurut Shamsudin, pelajar kategori asnaf dan anak yatim akan menerima pembiayaan sebanyak RM16,450 atau 50 peratus daripada yuran pendaftaran dan yuran pengajian peringkat diploma, sekali gus membolehkan mereka memulakan pengajian tanpa sebarang bayaran awal kepada kolej.

Jelasnya, pelajar daripada kumpulan B40 pula, hanya perlu membayar sebanyak RM2,900 kepada kolej sebagai pendaftaran dan akan mendapat 30 peratus pembiayaan dari pihaknya.

“Pelajar golongan B40 akan dapat pembiayaan sebanyak RM9,600 daripada yuran pengajian peringkat diploma, manakala peringkat pengajian sijil pula, pembiayaan sehingga RM15,000 diperuntukkan bagi setiap pelajar yang layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN