KP, Timbalan KP JAS ditahan SPRM berkaitan isu e-waste

KP, Timbalan KP JAS ditahan SPRM berkaitan isu e-waste

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu sisa elektronik atau e-waste.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan dijalankan bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau memaklumkan, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

“Kes ini disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009 dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, media melaporkan SPRM akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan ‘e-waste’ secara haram susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena sisa berkenaan telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Isu terbabit turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan kemasukan sisa e-waste ke dalam negara sedangkan kerajaan secara tegas melarang Malaysia dijadikan lokasi pembuangan sisa berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN