Cuti tambahan Aidilfitri adalah hari kelepasan am

Cuti tambahan Aidilfitri adalah hari kelepasan am

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuti tambahan Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam adalah hari kelepasan am selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, mereka layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am itu dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.

“Akta Hari Kelepasan 1951 memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.

“Sehubungan itu, cuti yang diisytiharkan ini adalah hari kelepasan am yang terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada Seksyen 60D Akta Kerja 1955,” katanya.

Cuti tambahan akan diberikan pada Isnin sekiranya Syawal jatuh pada hari Jumaat manakala cuti tambahan diberikan pada Jumaat sekiranya Aidilfitri pada hari Sabtu.

Kesuma memaklumkan, majikan perlu memaklumkan kepada pekerja berhubung pengaturan cuti tambahan tersebut sama ada diberikan pada tarikh diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang sesuai.

“Kesuma juga menyeru majikan agar mempertimbangkan kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian amalan pekerjaan yang prihatin yang menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN