PETALING JAYA: Skor Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025 mencatat peningkatan kepada 7.42, sekali gus meneruskan trend kenaikan berterusan sejak diperkenalkan pada 2021.
Skor IMNR mencatatkan 6.09 pada 2021, 6.47 pada 2022, 7.24 pada 2023 peningkatan konsiten menunjukkan keyakinan rakyat terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan dan keadilan sosial di negara ini serta usaha positif rakyat dalam menjadikan Malaysia negara rahmah.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, peningkatan konsisten itu menunjukkan semakin ramai rakyat merasakan impak dasar dan polisi kerajaan, sekaligus mencerminkan jurang antara perancangan dan pelaksanaan yang semakin dirapatkan.
“Apa yang lebih penting ialah bagaimana indeks ini dapat diaplikasikan untuk menambah baik situasi di negara, termasuk menambah baik polisi dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Maklum balas ini penting dan boleh dilihat sama ada dari sudut positif mahupun sebagai teguran kepada kerajaan sedia ada,” katanya pada sidang akhbar sempena pembentangan laporan kajian IMNR 2025, hari ini.
IMNR dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia untuk menilai tahap kemajuan negara ke arah merealisasikan aspirasi sebagai Negara Rahmah sejak diperkenalkan pada 2021.
Edisi 2025 disusun semula berasaskan tiga dimensi utama iaitu Politik, Ekonomi dan Sosial, selari dengan kerangka MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Badlishah berkata, IMNR bukan sekadar menonjolkan perkara positif, malah berperanan sebagai medium maklum balas dan teguran membina kepada kerajaan dengan menilai jurang antara dasar dan pelaksanaan di lapangan.
“IMNR adalah cerminan kepada dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan, sama ada impaknya benar-benar dirasai oleh rakyat dari segi kesejahteraan atau sebaliknya. Rakyat memberikan maklum balas dan inilah yang kami persembahkan melalui IMNR.
“Insya-Allah, dapatan ini akan dibawa kepada pembuat dasar, kerajaan serta pemegang taruh lain bagi melihat bagaimana suasana hidup di Malaysia dapat dipertingkat,” katanya. – UTUSAN











