Kes tender TDM: Hafizuddeain tiba di SPRM dirakam keterangan

Kes tender TDM: Hafizuddeain tiba di SPRM dirakam keterangan

Hafizuddeain Jantan tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 3.10 petang tadi, dipercayai untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Beliau dilihat tiba dengan menaiki sebuah kereta mewah serta diiringi beberapa individu.

Turut dilihat mengiringi kereta mewah berkenaan beberapa kereta dipercayai dinaiki pegawai SPRM.

Media sebelum ini melaporkan, Hafizuddeain kini sedang disiasat SPRM berhubung dakwaan aliran tunai besar dalam akaun bank miliknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, pegawai kanan tentera itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak 28 Disember lalu namun, sudah pun dibenarkan keluar semalam.

SPRM sebelum ini memaklumkan, pegawai berkenaan dikehendaki memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

Difahamkan, siasatan SPRM tertumpu kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun pegawai itu dipercayai membabitkan kes rasuah projek perolehan TDM.

Pada 29 Disember lalu, SPRM turut menyita enam akaun bank milik pegawai kanan tentera itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN