SEPANG: Polis Selangor masih menjalankan siasatan terhadap beberapa kes jenayah tembak mati sebelum ini malah, setakat ini ia memberi hasil positif.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini, hasil siasatan itu tidak dikongsi bagi mengelak siasatan terganggu.
“Saya memahami keputusan itu tidak kelihatan, namun percayalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas (siasatan) itu. Semua siasatan kes tembak mati tahun lalu masih berjalan dan aktif serta tidak ditutup.
“Beri kami ruang dan masa yang secukupnya, Insya-Allah ada hasil yang positif serta kami akan berikan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya menyiasat setiap aspek dan ia tidak hanya menjurus kepada gangsterisme sahaja sebaliknya banyak elemen lain terlibat.
Terdahulu, Asisten Komisioner M Ravi dilantik Ketua Polis Daerah KLIA yang baharu bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Azman Shari’at yang kini menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompentensi) Bukit Aman.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 26 tahun ditemui maut dalam sebuah kereta di Taman Mesra Indah, Klang, dipercayai ditembak dengan lima das tembakan pada jarak dekat.
Selain itu, pada 4 Januari lalu, seorang lelaki turut ditemui maut akibat ditembak berhampiran sebuah restoran makanan segera di Banting. – UTUSAN










