NEW YORK: Ancaman terhadap Iran meningkatkan tahap ketidaktentuan dalam situasi yang sedia tegang, menurut seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika negara itu digegarkan oleh protes anti kerajaan antara terbesar dalam sejarah Republik Islam berkenaan.
Iran menyaksikan gelombang bantahan besar-besaran sepanjang minggu lalu, namun demonstrasi tersebut dilihat semakin reda susulan tindakan keras pihak berkuasa serta sekatan internet selama seminggu.
Sehingga Rabu, Amerika Syarikat (AS) mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran sekiranya hukuman mati dilaksanakan ke atas individu yang ditahan berkaitan protes itu.
Wakil Washington ke PBB turut menegaskan pada Khamis semua pilihan masih dalam perbincangan.
“Kami memandang dengan penuh kebimbangan terhadap pelbagai kenyataan awam yang mencadangkan kemungkinan serangan ketenteraan ke atas Iran.
“Dimensi luaran ini menambah ketidaktentuan kepada situasi yang sudah pun mudah meletus.
“Segala usaha mesti dilakukan untuk mengelakkan keadaan daripada terus memburuk ,” kata Penolong Setiausaha Agung PBB, Martha Pobee kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Wakil Iran pada mesyuarat itu, Gholamhossein Darzi, menuduh Washington mengeksploitasi bantahan aman untuk tujuan geopolitik. Beliau berkata, kenyataan Presiden AS, Donald Trump, bertujuan mencetuskan semula kekacauan.
Wartawan Iran-AS, Masih Alinejad yang dijemput Washington untuk berucap di hadapan Majlis Keselamatan berkata, rakyat Iran menentang sistem pemerintahan di negara itu.
“Berjuta-juta rakyat Iran turun ke jalanan menuntut supaya wang mereka tidak lagi dicuri dan disalurkan kepada Hamas, Hezbollah dan pejuang Houthi,” katanya, merujuk kepada kumpulan bersenjata yang disokong Teheran.
Pada Oktober lalu, seorang hakim AS menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun masing-masing ke atas dua lelaki kerana merancang pembunuhan Alinejad, yang didakwa dirancang oleh Teheran.
Alinejad mendakwa rakyat Iran menyambut baik tawaran Trump untuk menyelamatkan orang awam tidak bersenjata yang ditembak oleh pasukan keselamatan di Iran. Alinejad kini merupakan antara tokoh utama yang lantang mengkritik kerajaan Iran di AS.
Duta AS ke PBB, Mike Waltz berkata, AS berdiri teguh bersama rakyat Iran yang berani.
“Tahap penindasan oleh rejim Iran terhadap rakyatnya sendiri membawa kesan kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya. -AFP










