Kes salah laku AKPS tidak pernah disembunyikan

Kes salah laku AKPS tidak pernah disembunyikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan anggota dan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak pernah disembunyikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini dibuktikan menerusi penangkapan 29 pegawai dan kakitangan AKPS sebelum ini yang terlibat dengan isu berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap kakitangan agensi yang didapati melanggar etika dan integriti dalam melaksanakan tugas.

“Kita tidak pernah berkompromi. Malah saya sikit pun tiada rasa curiga terhadap keupayaan dan kepemimpinan AKPS dalam memastikan tidak boleh ada pelanggaran itu.

“Jika ada tindakan, mereka maklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM buat intipan, penguatkuasaan, tangkap, jika perlu buat sidang media, silakan dan jika babitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sebagainya, jalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai tindakan diambil terhadap 29 pegawai dan kakitangan AKPS yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk aktiviti counter setting antara Januari hingga September lalu, selain keperluan menambah anggota AKPS di pintu masuk negara.

Saifuddin berkata, AKPS bekerjasama dengan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen dalam memastikan pegawai dan kakitangan sentiasa berintegriti ketika menjalankan tugas.

“Pendekatan diambil adalah tidak ada kompromi langsung. Jika ada keperluan untuk laksana Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tata Tertib 1993, termasuk hukuman buang kerja (perlu diteruskan)

“Jika siasatan dibuat, buka kertas siasatan. Jika perlu berakhir dengan pertuduhan, silakan. Usia AKPS baru setahun tapi sudah meletakkan asas bahawa tiada tolak ansur dalam perlanggaran tata tertib dan integriti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN