Kerajaan sedia RM30 Bilion untuk PKS, RM20 Bilion rakyat miliki rumah pertama

Kerajaan sedia RM30 Bilion untuk PKS, RM20 Bilion rakyat miliki rumah pertama

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM30 bilion bagi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan itu dibuat secara lebih bersasar dengan memberi tumpuan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi selaras usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam Belanjawan 2026, kerajaan meningkatkan jumlah jaminan pembiayaan kepada RM30 bilion dan memberi penekanan kepada sektor-sektor yang telah dikenal pasti sebagai sektor bernilai tinggi dan berpertumbuhan tinggi,” katanya selepas merasmikan Inisiatif Belanjawan 2026 Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara sektor yang diberi tumpuan termasuk industri halal, pelancongan dan industri bernilai tinggi, selain syarikat pertengahan yang berorientasikan eksport selaras perancangan Malaysia Ke-13 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan turut memperuntukkan RM10 bilion khusus kepada syarikat bumiputera bagi memastikan penyertaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama dalam kalangan bumiputera.

“Pemerkasaan bumiputera kekal sebagai fokus utama bagi memastikan mereka dapat menyertai arus pertumbuhan ekonomi negara secara lebih menyeluruh,” katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut melancarkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan peruntukan RM20 bilion bagi membantu pembeli rumah pertama yang berpendapatan tidak tetap untuk memiliki rumah sendiri.

“Jaminan kerajaan ini membolehkan bank memberi pembiayaan dengan lebih mudah, sekali gus membuka peluang kepada golongan berpendapatan tidak tetap untuk memiliki rumah yang diinginkan,” katanya.

Mengulas kebimbangan terhadap risiko kewangan, Amir Hamzah menegaskan peluasan jaminan pembiayaan berjumlah besar itu tidak menjejaskan disiplin fiskal negara kerana kawalan risiko dilaksanakan secara rapi melalui saringan ketat oleh institusi kewangan dan SJPP.

Katanya, berdasarkan pengalaman pelaksanaan skim jaminan sebelum ini, tahap pinjaman tidak berbayar (NPL) berada pada paras yang masih terkawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN