PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sejumlah RM116.58 juta bagi pengoperasian semua sekolah agama di seluruh negeri itu bagi tahun ini, sekali gus memastikan kelangsungan sistem pendidikan agama yang mampan dan berkualiti.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya komited untuk terus memperkasa Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) agar setanding dengan sekolah-sekolah elit arus perdana menerusi pelaksanaan anjakan paradigma pendidikan yang menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi.
“Saya yakin lapan resolusi yang telah dirumuskan mampu diterjemahkan kepada tindakan yang realistik dan berimpak tinggi, sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Resolusi ini bertujuan memastikan pelan tindakan setiap sekolah dapat dilaksanakan secara berkesan, memacu anjakan paradigma pendidikan, serta membina asas pembangunan pelajar yang holistik,” katanya ketika merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan SMAN, di sini, hari ini.
Menurutnya, antara resolusi utama bengkel berkenaan ialah sasaran memastikan 100 peratus SMAN berada dalam kedudukan 30 terbaik SPM Negeri Pahang menjelang 2031, selain 100 peratus pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, sekurang-kurangnya 10 peratus pelajar disasarkan menyambung pengajian sama ada dalam program ulama di universiti Islam terkemuka dunia atau program profesional di universiti terbaik antarabangsa.
“Semua SMAN juga akan melaksanakan kurikulum teras seragam berfokus mengikut kluster, merangkumi aliran STEM, turath, profesional, TVET dan tahfiz bagi memastikan pembangunan pelajar lebih tersusun dan berdaya saing,” katanya.
Wan Rosdy berkata lagi, SMAN tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya pelajar perlu diasuh supaya mampu bersaing setara dengan pelajar terbaik dari sekolah lain, manakala guru pula perlu terus diperkasa sebagai teras utama kejayaan pendidikan.
“Mereka tidak seharusnya sekadar menjadi “jaguh kampung” yang selesa di zon sendiri, sebaliknya perlu diasuh agar dapat bersaing setara dengan pelajar cemerlang daripada sekolah arus perdana yang lain,” katanya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM75 juta setahun bagi belanja mengurus semua SMAN, selain RM1.4 juta khusus untuk bayaran makan asrama sekolah di bawah seliaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan RM17.4 juta bagi pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah-sekolah agama bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut menaikkan elaun tambahan Guru Al-Quran dan Fardu Ain asrama serta Guru KAFA sebanyak RM100 seorang, selain mengurangkan yuran persekolahan dan asrama sekolah agama bagi meringankan beban ibu bapa.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk mengurangkan yuran persekolahan agama daripada RM490 kepada RM370 iaitu penurunan sebanyak RM120 atau 24.5 peratus, serta pengurangan yuran asrama bagi sekolah menengah agama daripada RM670 kepada RM560,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri Pahang juga meluluskan penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang di Cameron Highlands melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.23 juta bagi pembayaran emolumen pegawai dan kakitangan serta pengubahsuaian bangunan. – UTUSAN










