CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerajaan mampu mendapatkan kembali lebih banyak dana awam yang tiris, dicuri dan disalahgunakan melebihi RM15.5 bilion yang berjaya dikutip sejak dua tahun lalu.
Perdana Menteri berkata, beliau akui masih banyak lagi ketirisan dana awam yang belum dibongkar dan didedahkan.
“Jika ditanya kepada saya, adakah jumlah ini mencukupi? Saya tidak yakin. Jumlah RM15.5 bilion itu menunjukkan masih banyak yang perlu kita lakukan.
“Dalam tempoh dua tahun lebih ini, kita berjaya menghasilkan tambahan sebanyak RM15.5 bilion. Ini adalah hak kita, hak rakyat, yang telah dirompak kerana kelemahan dan ketidakkemasan sistem sebelum ini.
“Ketirisan dana itu berpunca daripada kelompok yang mencari kesempatan yang menyebabkan ketirisan dan kehilangan dana kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Kastam Sedunia Ke-44 di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dana RM15.5 bilion itu diperoleh semula hasil rampasan dan kutipan penalti yang telah berjaya dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Beliau berkata, disebalik kejayaan kutipan semula dana awam itu, beliau akui masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan mampu dicapai.
Namun, beliau berbangga dengan prestasi kutipan oleh JKDM sepanjang tahun lalu, malah percaya jabatan itu mempunyai keupayaan lebih baik daripada itu.
“Kita, sebagai satu keluarga, termasuk JKDM menerima cabaran bahawa kita mampu mengutip dana yang hilang, yang tiris, yang dicuri, dan mampu menyelamatkan bangsa serta negara kita.
“Saya juga yakin akan keupayaan Malaysia untuk meningkat ke tahap yang jauh lebih baik. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKDM yang telah bekerja tanpa mengenal lelah untuk menyelamatkan negara kita,” katanya. – UTUSAN










