PETALING JAYA: Pelakon, Nad Zainal, berpendapat tidak wajar seseorang berasa malu menggayakan barangan pada harga mampu milik, termasuk ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, 36, berkata, dia memilih untuk bersikap realistik dan berbelanja mengikut kemampuan walaupun bergelar selebriti.
“Kenapa perlu saya malu pakai benda murah? Saya hanya bekerja sebagai pelakon. Apabila pulang ke rumah, saya hanyalah Farah Nadia yang menguruskan anak-anak dan suami.
“Tak kisahlah apa pun pekerjaan kita, rasanya ramai sahaja yang suka barang murah, harga promosi atau jualan diskaun,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tambah pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu, bergelar selebriti tidak bermakna seseorang perlu menjalani gaya hidup mewah atau sentiasa tampil dengan barangan berjenama.
Sebaliknya, kata Nad, kebahagiaan diri dan keluarga lebih utama berbanding penampilan luaran.
Dalam perkongsian sama, Nad turut memuat naik pilihan busana Aidilfitri yang dibelinya dengan tema warna ‘strawberry matcha’, gabungan hijau dan merah jambu.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya memuji sikap rendah diri pelakon berkenaan serta kejujurannya dalam berkongsi realiti kehidupan sebenar.
“Bagus kalau lebih ramai artis dan pempengaruh arus perdana mengajar masyarakat untuk bijak berbelanja menjelang raya,” tulis seorang peminat.
“Suka tengok artis yang merendah diri dan tidak berpura-pura,” komen seorang lagi.
“Hakikatnya, bila pulang ke rumah, kita semua manusia biasa dengan tanggungjawab masing-masing,” kata seorang pengikutnya. -UTUSAN










