Kena tunggu setahun untuk rawatan gigi

Kena tunggu setahun untuk rawatan gigi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan gigi di klinik kerajaan didakwa mencecah sehingga setahun sekali gus mencetuskan rungutan pengguna apa bila mereka terpaksa beralih ke klinik swasta dan menanggung kos rawatan yang jauh lebih tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sistem temu janji di beberapa klinik pergigian kerajaan sering menawarkan tarikh rawatan yang lewat, sekali gus menyukarkan pesakit yang mengalami kesakitan untuk mendapatkan rawatan segera.

Semakan di beberapa klinik swasta mendapati kos rawatan asas seperti mencabut gigi boleh mencecah sehingga RM90 sebatang dan tampalan sekitar RM80, berbanding hanya RM1 di klinik kerajaan.

Perbezaan kos yang ketara itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Seorang pereka grafik yang ingin dikenali sebagai Sany, mendakwa terpaksa menunggu hampir setahun untuk mendapatkan rawatan pergigian di Klinik Pergigian Kampung Pandan selepas semua slot temu janji didapati penuh sehingga Disember depan.

Menurutnya, semakan yang dibuat melalui sistem temu janji mendapati klinik berkenaan yang terletak di kawasan Kampung Pandan telah penuh sehingga Disember, dan tarikh rawatan bagi tahun berikutnya pula tidak lagi tersedia.

“Saya semak, memang penuh sampai bulan 12, lepas itu bila masuk tahun seterusnya pun slot terus penuh, tak ada langsung pilihan di klinik kawasan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sani berkata, walaupun sistem menyediakan pilihan ke klinik lain seperti di Ampang yang jaraknya agak jauh, selain slot rawatan di kebanyakan klinik alternatif itu juga hanya tersedia selepas tiga bulan.

“Sistem itu ada pilihan klinik lain, tetapi realitinya hampir semua penuh, ada yang ambil masa sampai tiga bulan, jadi memang betul masalah tunggu berbulan-bulan ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Norsafika Helmi, 24, berkata, dia dimaklumkan perlu menunggu tiga hingga lima bulan untuk rawatan penskaleran dan tampalan walaupun masalah gigi berlubang yang dialaminya semakin teruk.

Menurut Safika, tempoh me­nunggu yang lama itu memaksanya mendapatkan rawatan di klinik swasta meskipun sedar kos yang dikenakan jauh lebih mahal.

“Saya pilih klinik kerajaan sebab kos rendah, tampalan ha­nya RM1, tetapi terpaksa ke swasta sebab tak mampu menahan sakit sampai tarikh temu janji.

“Saya terpaksa membayar sehingga RM800 bagi rawatan cabut gigi bongsu di klinik swasta selepas tidak mampu lagi menahan kesakitan menunggu giliran di klinik kerajaan,” katanya.

Situasi sama dikongsikan seorang editor buku, Safitri Muharromatul Abadiyah, 24, yang perlu menunggu temu janji susulan selama beberapa bulan selepas pemeriksaan awal di klinik kerajaan.

“Walaupun menggunakan aplikasi MySejahtera, slot rawatan langsung tidak tersedia dalam tempoh beberapa bulan bagi rawatan seperti tampalan dan rawatan salur akar,” katanya.

Seorang pelajar, Nabila Julia, 25, pula berkata, slot rawatan yang terhad menyebabkan tempoh menunggu cabut gigi menjadi panjang walaupun kesakitan menjejaskan keselesaan harian.

“Dalam keadaan sakit, rawatan swasta jadi keperluan, bukan lagi pilihan untuk saya,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Nur Najihah Dulatip, 24, pula berkata, kelewatan sehingga tiga bulan bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah membebankan kewangan pesakit.

“Pesakit yang alami kesakitan teruk tidak sepatutnya disamakan dengan kes rutin hingga perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Sebahagian pengguna turut mempersoalkan keberkesanan sistem temu janji sedia ada di aplikasi MySejahtera yang didakwa gagal mengutamakan kes kecemasan.

Isu menunggu rawatan pergigian ini mencetuskan desakan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera menambah kapasiti dan menambah baik pengurusan klinik pergigian supaya rakyat tidak terus terpaksa membayar mahal di klinik swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×