KUALA LUMPUR: Gitaris kumpulan Barbarik, Abdul Zamin Abdul Kadir atau Joe Branko, 56, berpandangan pasukan produksi perlu menguruskan penjadualan perjalanan konsert dengan lebih sistematik.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya kelewatan atau penamatan serta merta seperti yang berlaku semasa penganjuran sebuah konsert artis seberang, baru-baru ini.
“Hal ini berbalik kepada pengurusan masa. Produksi konsert kami betul-betul menjaga soal itu bagi mengelakkan konsert yang dianjurkan melanggarkan durasi konsert yang ditetapkan.
“Apa pun kita kena ikut peraturan. Kalau diarahkan persembahan tamat pukul 12 malam, maka kita kena akur dan ikut peraturannya.
“Perkara ini tak sulit, cuma perjalanan konsert itu perlulah diuruskan dengan baik. Di situlah artis dan pengarah persembahan mainkan peranan,” katanya.
Joe berkata demikian selepas majlis penyerahan gitar dan sidang media dekat Gibson Guitar Avenue, Starhill Gallery, semalam.
Mengulas tentang insiden yang menimpa konsert RadjaWali Live In Malaysia baru-baru ini, Joe berpandangan perkara tersebut wajar dijadikan pengajaran bagi mana-mana penganjuran konsert pada masa akan datang.
“Ini berkait rapat dengan permit hiburan dan kebenaran pihak berkuasa yang antara lain menghadkan penganjuran konsert sehingga pukul 1 pagi sahaja.
“Difahamkan penamatan serta merta konsert itu disebabkan penganjur enggan melanggar had masa yang ditetapkan.
“Mungkin kalau ditempat lain, pihak pengurusan boleh bertolak ansur untuk memberi kebenaran kepada penganjur melanjutkan sedikit persembahan.
“Tapi keadaan itu tidak terpakai di lokasi penganjuran yang berdekatan kawasan perumahan. Dikhuatiri penduduk sekitar terganggu jika konsert dilanjutkan melebihi pukul 1 pagi,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Joe juga berharap sistem kemasukan penonton konsert ke dalam dewan dapat diperbaiki agar tidak mengganggu penjadualan konsert.
“Pada saya, petugas keselamatan jangan ambil masa terlalu lama untuk menyemak barangan yang dibawa pengunjung konsert. Pada saya tak perlulah sampai buka satu persatu beg pengunjung semata-mata memastikan mereka tak bawa makanan masuk ke dalam dewan. Cukup sekadar menyaring barang berbahaya dengan menggunakan alat pengimbas khas.
“Pernah berlaku sebelum ini pukul 9 malam pun penonton masih beratur panjang untuk masuk ke dalam dewan. Ini antara punca mengapa konsert bermula lewat. Jadi Saya harap perkara ini dikaji semula agar mekanismenya dapat diperbaiki,” kongsinya lagi. – UTUSAN










