Ikhlas syarat penting penyatuan Melayu

Ikhlas syarat penting penyatuan Melayu

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ikhlas antara syarat utama dalam menjayakan perancangan untuk menyatukan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap usaha politik mesti diasaskan kepada keikhlasan sebelum disusuli dengan strategi yang betul dan kepimpinan yang berwibawa.

Katanya, tanpa kepimpinan yang kuat, strategi dirangka tidak akan bertahan lama.

“Dalam apa sahaja perancangan kita kena ada keikhlasan, bila ikhlas kemudian disusuli dengan strategi yang betul dan pemain-pemain dalam politik ini juga mempunyai pemimpin, mana-mana parti perlu ada pemimpin yang hebat kerana.

“Kalau tidak, strategi itu akan sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menggariskan Rumah Bangsa dan pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pihak bagi menyambut kembali termasuk mereka pernah meninggalkan UMNO.

Katanya, UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en blok.

Dalam pada itu, Johari berkata, cadangan tersebut merupakan harapan baharu buat seluruh orang Melayu

“Negara ini telah merdeka 68 tahun, jangkaan rakyat Melayu telah banyak berubah dan dalam masa hampir lapan dekad ini, sudah tentu satu perubahan besar perlu kita ambil dan ambil kira pandangan generasi muda kerana kalau tidak UMNO akan begini sahaja,” katanya.

Johari berkata, perubahan perlu dibuat dengan memberi peluang kepada orang Melayu yang mempunyai pemikiran hebat untuk membawa aspirasi itu secara bersama demi kestabilan dalam jangka masa panjang.

“Kita tidak boleh lagi macam sewaktu merdeka dulu sebab hari ini hampir semua orang Melayu mempunyai pemikiran sangat berbeza, kita nak the best of the Malay (Melayu yang terbaik antara yang terbaik) yang kita boleh tonjolkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN