Doktor didakwa bunuh anak, isteri, ganggu siasatan polis

Doktor didakwa bunuh anak, isteri, ganggu siasatan polis

CHIA Tong Hong dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor hari ini bagi berdepan pertuduhan membunuh isteri dan anaknya pada akhir tahun lalu.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang doktor sebuah klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri serta anak lelakinya di sebuah kediaman di Bandar Dato’ Onn, di sini akhir bulan lalu.

Tertuduh, Dr. Chia Tong Hong, 34, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret A. Shaarmini, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan menghalang siasatan polis. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Atifah Hazimah dan Majistret, Nabilah Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan pembunuhan terhadap isterinya, Phun Lai Ling, 37, serta membunuh anak tunggal mereka, Aaden Chia Yee Heng, 4, di sebuah kediaman di Bandar Dato’ Onn di sini antara pukul 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Disember lalu.

Atas dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa mengubah kedudukan mayat anaknya kira-kira pukul 8.10 pagi, 31 Disember 2025 serta melupuskan kuku palsu isterinya dengan niat untuk mengelak daripada hukuman undang-undang pada masa dan lokasi sama mangsa dibunuh.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sarah, Siti Aisyah Mustapha Kamal; Nur Fatihah Mohd. Nizam dan Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Bernard George.

Ketiga-tiga mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh mempunyai pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mac depan bagi serahan dokumen sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan juga toksikologi.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad memberitahu tertuduh dipercayai telah mengelar leher isterinya yang merupakan seorang akauntan selain turut menekap muka anak lelakinya sehingga mati menggunakan bantal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×