KUALA LUMPUR: Kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 mencuri perhatian perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau yang hadir memakai baju Melayu berwarna putih dan sampin bercorak UMNO dilihat masuk ke dewan yang menjadi lokasi persidangan Pemuda itu bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Kemunculan Khairy ke perhimpunan itu seolah mengimbau kenangan beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 2009 sehingga 2018.
Sejak kebelakangan ini, tercetus desas-desus mengenai masa depan politik Khairy apabila kononnya bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan kembali kepada UMNO setelah dipecat keahlian pada 2023.
Semalam, Dr. Muhamad Akmal mengesahkan Khairy menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO hari ini.
“Kami telah menjemput semua bekas Ketua Pemuda antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan juga Khairy.
“Mereka mengesahkan untuk menghadiri perhimpunan Pemuda UMNO esok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri.-UTUSAN










