DUNGUN: ‘Aku nak duit!’
Demikian jeritan suspek terhadap seorang lelaki warga emas dan isterinya dalam kejadian cubaan samun di Kampung Pinang Merah, Paka, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu mengakibatkan Roslan Sidek, 62, mengalami empat kecederaan kesan luka hirisan di bahagian belakang badan ekoran dilibas pisau dan luka di bahagian dagu kiri ketika bergelut dengan penjenayah berkenaan di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, mangsa tidur di dalam bilik bersama isterinya yang merupakan seorang penyelia jururawat di Pusat Kesihatan Dungun.
“Ketika mereka sedang tidur, suspek yang memakai topi berwarna hitam dan tidak memakai topeng masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu belakang bahagian dapur.
“Suspek masuk ke bilik mangsa sambil menjerit ‘aku nak duit’’ menyebabkan mangsa dan isterinya terjaga dari tidur. Suspek kemudian bertindak naik ke badan mangsa dengan memegang pisau sambil berulang kali menjerit ‘aku nak duit’ sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa dalam bilik tidur itu,” katanya ketika dihubungi.
Maizura berkata, ketika pergelutan tersebut, suspek melibas pisau ke arah badan mangsa menyebabkanya tercedera.
“Panik dan takut dengan keadaan itu, isteri mangsa bergegas berlari meminta bantuan daripada adiknya yang tinggal berhampiran kediaman mereka. Suspek melarikan diri menerusi pintu dapur selepas pergelutan tersebut,” katanya.
Maizura berkata, polis giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Mangsa kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Dungun dan berada dalam keadaan stabil. – UTUSAN










