Kajian balai bomba baharu di JRTB diserah kepada KPKT - Utusan Malaysia

Kajian balai bomba baharu di JRTB diserah kepada KPKT

AHMAD Izram Osman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Program Sumbangan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Persatuan Suri dan Pegawai Wanita (Perisma) Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kajian berhubung keperluan sebuah balai bomba baharu di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli telah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan semakan dan pertimbangan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kajian berkaitan keperluan penubuhan balai berkenaan diserahkan kepada KPKT pada Disember tahun lalu.

“Kita telah hantar kajian tersebut ke pihak kementerian untuk dibawa dalam Rancangan Malaysia yang terdekat . Kajian itu merangkumi aspek pengoperasian dan keperluan untuk balai baharu ditubuhkan di lokasi berkenaan.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, setiap tahun kita akan menghantar keperluan JBPM untuk tahun berikutnya, dan pada masa itu ia akan dimasukkan dalam senarai.”

“Senarainya memang banyak namun ia bergantung kepada keupayaan kerajaan. Kalau boleh kita minta untuk disegerakan (pembinaan balai baharu),” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Sumbangan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Persatuan Suri dan Pegawai Wanita (Perisma) Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Izram, walaupun pembinaan balai bomba baharu masih belum dapat dilaksanakan, JBPM Perak telah menubuhkan ‘fire post’ di laluan berkenaan bagi memastikan respon segera sekiranya berlaku kecemasan.

Katanya, fire post itu diwujudkan berdekatan Tasik Banding, di mana sebuah jentera beserta anggota ditugaskan, terutamanya pada musim perayaan.

“Pada musim perayaan memang kita letaklah (fire post) iaitu tempat-tempat yang kita jangka orang selalu datang. Biasanya kalau kita bersiap sedia, kita akan tempatkan satu jentera,” katanya.

Pada Jun lalu Ahmad Izram dilaporkan berkata, JBPM sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan balai bomba baharu di laluan JRTB bagi mempercepatkan respons dalam situasi kecemasan, khususnya kemalangan jalan raya.

Menurutnya, ketika ini Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Baling merupakan balai terdekat yang bertindak sekiranya berlaku sebarang kecemasan di sepanjang laluan tersebut.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding pada 9 Jun 2025, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat sekeluarga.

Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN