Jumlah kontena Westport dijangka berkembang 4.5 peratus - Utusan Malaysia

Jumlah kontena Westport dijangka berkembang 4.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan jumlah kontena Westports Holdings Bhd. (Westports) dijangka berkembang 4.5 peratus pada 2026, disokong oleh penormalan aktiviti perdagangan susulan pelaksanaan tarif timbal balik dan aliran perdagangan intra-Asia yang berdaya tahan, yang menyumbang 66 peratus daripada jumlah TEU pada 2024.

Penganalisis Penyelidikan CIMB Securities Sdn. Bhd., Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, firma itu kekal positif terhadap prospek Westports, disokong oleh semakan tarif yang akan datang (2026 hingga 2027), perkhidmatan baharu Ocean Alliance, serta dorongan struktur daripada pengalihan perdagangan global.

“Pemangkin penilaian semula utama termasuk pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan hasil kenaikan tarif pelabuhan, pemulihan jumlah kargo pemindahan (transshipment), dan pertumbuhan jumlah pintu masuk (gateway) yang mampan.

“Risiko penurunan termasuk peningkatan ketegangan geopolitik, kelembapan jumlah perdagangan intra-Asia, serta tekanan kos inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, beliau berkata itu berkata, pengendalian kontena Westports dianggarkan menurun sedikit sebanyak 0.3 peratus suku ke suku dan 0.7 peratus tahun ke tahun kepada 2.86 juta TEU pada suku keempat 2025.

“Sebaliknya, pengendalian kargo konvensional meningkat kukuh sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun dan 3.2 peratus suku ke suku kepada 3.59 juta tan.

“Kami mengaitkan pertumbuhan YoY yang lebih kukuh dalam segmen konvensional sebahagiannya kepada peningkatan penghantaran kenderaan roll-on/roll-off (RoRo).

“Ini khususnya kenderaan elektrik bateri (BEV), apabila pengedar tempatan berkemungkinan mempercepatkan pengumpulan inventori menjelang tamatnya pengecualian cukai kenderaan elektrik sepenuhnya dibina (CBU) pada 31 Dis 2025,” ujarnya.

Kumpulan itu dijadualkan mengumumkan keputusan suku keempat pada 30 Jan 2026.

Menurutnya, berdasarkan pendedahan syarikat, Westports mencatat rekod pengendalian kontena sebanyak 11.3 juta TEU dan kargo konvensional sebanyak 12.8 juta tan pada 2025, masing-masing mewakili pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.9 peratus dan 5.0 peratus.

“Pencapaian volum kontena adalah selaras dengan panduan pertumbuhan satu digit rendah Westports serta unjuran kami +3.0 peratus bagi 2025.

“Sementara itu, pengendalian kargo konvensional melebihi anggaran pada 2025 kami sebanyak 0.2 juta tan, atau 1.6 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, CIMB Securities tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran dan menjangkakan keuntungan bersih teras yang mendatar hingga sedikit lebih tinggi tahun ke tahun pada suku keempat, dipacu oleh kadar tarif pelabuhan yang lebih tinggi.

“Kami mengulangi saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.20, berdasarkan 12.1x nisbah Nilai Perusahaan terhadap Keuntungan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan, selaras dengan purata sejarah 10 tahun,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN