JKDM rekod kutipan hasil RM76.18 bilion tahun lalu

JKDM rekod kutipan hasil RM76.18 bilion tahun lalu

ANIS Rizana Mohd Zainudin ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion sehingga 31 Disember tahun lalu, iaitu lebihan RM8.93 bilion berbanding unjuran hasil awal tahun sebanyak RM67.25 bilion.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sebagai perbandingan hasil tahunan, kutipan hasil bagi tahun 2024 berjumlah RM65.57 bilion, manakala tahun lalu jumlah tersebut meningkat kepada RM76.18 bilion.

Menurutnya, peningkatan itu mencatatkan pertambahan kutipan hasil sebanyak RM10.61 bilion, bersamaan dengan kenaikan 16.18 peratus.

“Pada 2022, JKDM merekodkan kutipan hasil sebanyak RM52.93 bilion. Prestasi ini seterusnya meningkat pada 2023 kepada RM55.17 bilion, iaitu pertambahan sebanyak RM2.24 bilion atau 4.23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Momentum pertumbuhan ini diperkukuh pada 2024 apabila kutipan hasil melonjak ketara kepada RM65.57 bilion, dengan pertambahan sebanyak RM10.40 bilion bersamaan 18.85 peratus, berbanding 2023.

“Trend peningkatan berimpak tinggi ini diteruskan pada 2025, apabila kutipan hasil mencatatkan paras tertinggi iaitu RM76.18 bilion, dengan peningkatan sebanyak RM10.61 bilion atau 16.18 peratus berbanding 2024,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan dua tahun berturut-turut melebihi RM10 bilion secara konsisten bagi tempoh 2024 dan 2025, sekali gus menzahirkan keberkesanan pendekatan strategik JKDM dalam memperkukuh pematuhan cukai, penguatkuasaan dan pemudahcaraan perdagangan secara menyeluruh.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran kutipan hasil bagi tahun 2026, Anis Rizana memaklumkan perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan pihak Kementerian Kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN