KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Azhan Md. Othman secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, pelantikan Azhan adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
Menurutnya, Azhan diyakini berupaya memastikan kesinambungan kepimpinan TDM seterusnya memperkukuhkan kesiapsiagaan pasukan sebagai teras utama pertahanan negara.
“Panglima Tentera Darat ke-31 dengan penuh hormat takzim menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan diberikan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat ke-31 di Wisma Pertahanan, hari ini.
TDM berkata, aspek integriti dan tadbir urus yang telus serta pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur akan diperkukuhkan sebagai teras kepimpinan Azhan.
Katanya, ia selari dengan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan-Strategi Domain Daratan (AMH-SD2) yang mendukung aspirasi Kertas Putih Pertahanan.
“Di samping itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga TDM akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warganya tetap dipelihara,” katanya.
Tambahnya, Azhan menyeru seluruh warga TDM menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi agar Tentera Darat terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat.
Azhan dilantik bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang sebelum ini diarahkan untuk bercuti berikutan siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pagi ini, media melaporkan, SPRM semalam memulakan siasatan terhadap 26 syarikat di beberapa negeri yang disyaki terbabit dalam tender perolehan Tentera Darat.
SPRM turut menyiasat semua pemilik syarikat berkenaan yang menerima tender perolehan daripada Tentera Darat. – UTUSAN










